Tuesday, December 1, 2009

MITOS DAN PENIPUAN

TUJUH MITOS TUJUH PENIPUAN


Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat.

Contoh mitos : Raja di katakan jelmaan tuhan. Ini adalah mitos bertujuan untuk membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja. Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah lepas satu – satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos.

Contoh mitos : Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut maka kita akan mencari perlindungan. Peranan untuk melindungi kita dari hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun.

Mitos diwujudkan untuk tujuan baik dan tujuan jahat. Jangan pergi di dalam gua ini ada hantu - adalah nasehat yang bersalurkan penakutan. Nasehat ini baiak kerana cuba menjaga keselamatan. Ianya juga tidak baiak kerana asasnya satu pembohongan.

Hari ini mitos masih cuba di wujudkan – tetapi agak susah. Dengan kemajuan ilmu tidak ramai yang akan mempercayai mitos-mitos baru yang hendak direka. Mitos seperti angkasawan Neil Armstrong turun ke bulan terdengar suara azan. Atau mitos Bruce Lee mati kerana bersilat dengan Dicky Zulkarnain – semua ini cuba disebarkan untuk menjadi bahan lawak jenaka.

Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal Tuhan maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk – walhal kalau Raja Jepun ini makan petai – kencing dia tetap haring. Kalau Prince Charles tercirit baunya tetap busuk.

Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca dari tiga sumber. Pertama : Pengumpulan pengalamnan. Kedua: Kaji selidik. Ketiga : Ujian dalam bilik makmal.

Mitos ini akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada ianya mitos atau fakta. Jika sesutu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau slah maka ianya masih di tahap teori. Satu ketika dahulu Letupan Besar/ Bing Bang hanya satu teori – hari ini telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat dibuktikan teori ini.

Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari satu zaman ke satu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Dalam negara kita ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini di terima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua. Tetapi dengan adanya internet kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta..


MITOS PERTAMA:

Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. BOHONG. Sabah , Serawak, Singapura dan Pesekutuan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya sila tanya orang Sabah dan Serawak.

MITOS KE DUA :

Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation. BOHONG. Parti yang awal memperjuangan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda di tubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi. Apabila wujud slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA !

MITOS KE TIGA :

Kemerdekaan didapati tanpa tumpah darah. BOHONG. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insap, Anakatan Wanita Sedar, Hisbul Musliman, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata – pada mulanya melawan Jepun – kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata British tidak akan undur.

MITOS KE EMPAT :

Lagu Negara-Ku dikatakan lagu kebangsaan kita. BOHONG. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Peciptanya orang Peranchis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857) Nama asal ialah Memula Moon. Bertukar menjadi Terang Bulan. Di zaman Konfrontasi - Radio Repuklik Indonesia memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negara-ku.

MITOS KE LIMA :

Bendera Jalur Gemilang – namanya baru 5 tahun. Ini adalah tiruan bulat bulat dari bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled –Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Nama jalur gemilang pun di ciplak dari nama bendera Amerika. Buktinya : lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara/Melayu – warna merah dan puteh adalah motif Nusantara - merah darah rakyat - puteh hati rakyat.Motif Nusantara ini wujud dalam bendera Singapura dan Indonesia.

MITOS KE ENAM :

Wujud perpaduan Melayu. BOHONG. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan China, perpaduan Arab, perpaduan Itali , perpaduan India.

Mito perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu dari di’telan’ oleh China dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampong takut pada hantu lalu memanggil bomoh untuk menghalau hantu. Ini cara klasik mitos bergerak. Takut-takut orang ramai. Apabila orang ramai takut maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi perlindung walhal yang menimbulkan kerena gerombolan ini.

MITOS KE TUJUH:

Malaysia negara unik. BOHONG. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar. Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia unik.

Hakikatnya Malaysia tidak unik – bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang kaum , yang berbilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolith dalam dunia ini – semua ada kepelbagian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

TEKNOLOJI PECAHKAN MITOS

Lihatlah betapa teknoloji dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah.

Kalau dulu kita tidak tahu asal usul lagu Negara-ku – hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemedekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai pecah. Dokument-dokumen sejarah semuanya boleh kita baca melaui internet.

Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknoloji akan membebaskan manusia dari di perangkap dan di belenggu oleh mitos-mitos. Tanpa mitos manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional.

Nota:
Tulisan ini bebas untuk diambil untuk
tujuan memecahkan mitos.

Thursday, November 26, 2009

Mauqif BKASM terhadap Program Aidiladha KBMK dan JPMK

Baca mauqif BKASM berkenaan Program Aidiladha anjuran KBMK & JPMK.
Sumber : www.bkasm.org

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Kepada : Seluruh Ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir.

PER : KENYATAAN RASMI BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR TERHADAP PROGRAM SAMBUTAN AIDILADHA ANJURAN KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH (KBMK) DAN JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH (JPMK)

Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2009/2010 telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 23 November 2009 bagi membincangkan isu di atas. Keputusannya, seluruh Ahli Jawatankuasa Tadbir BKASM SEBULAT SUARA BERSETUJU BAHAWA BKASM TIDAK AKAN BEKERJASAMA TERHADAP PROGRAM SAMBUTAN AIDILADHA ANJURAN KBMK DAN JPMK yang akan diadakan pada 27 November 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430 di Dataran Hayyu ‘Asyir.

Hal ini adalah disebabkan pihak BKASM memohon agar isu Majlis Pembacaan Kutub Sittah PMRAM dapat diselesaikan terlebih dahulu dengan baik antara pihak JPMK dan seluruh mahasiswa Malaysia di Republik Arab Mesir. Pegawai HEP Selangor di Mesir, En. Abdul Halim Saljadi menghormati keputusan yang telah disepakati oleh AJKT BKASM dalam mesyuarat tersebut.

Pihak BKASM berharap agar seluruh ahli dapat MEMBERIKAN PERHATIAN yang sewajarnya terhadap kenyataan ini. Segala kerjasama dan tindakan yang diberikan adalah dihargai dan didahului dengan Jazakumullahu Khairan Kathira.

Sekian, terima kasih.

“BERSATU DAN BERBAKTI”

"JULANG DAKWAH, PERKASA UKHUWAH, LESTARI UMMAH"

Thursday, November 5, 2009

SYEIKH AHMAD DEEDAT

Assalamualaikum, jom kita baca sedikit profail mengenai Syeikh Ahmad Deedat.

LATAR BELAKANG :
>Syeikh Ahmad Deedat dilahirkan pada tahun 1918, di Bandar Sirat India. Kemudian, beberapa lama selepas kelahiran beliau, bapanya berhijrah ke Afrika Selatan. Ibu beliau meninggal dunia ketika beliau berusia 9 tahun.
>Syeikh Ahmad Deedat merupakan seorang pelajar yang cemerlang semasa di zaman sekolahnya dahulu. Beliau begitu cekap dalam pelajarannya mengatasi rakan-rakan sebayanya walaupun berbeza bahasa.
>Atas sebab kemiskinan keluarga, maka Syeikh Ahmad Deedat terpaksa meninggalkan sekolah peringkat pertengahan untuk mencari sumber rezeki bagi membantu keluarganya .
>Pada tahun 1936, Syeikh Ahmad Deedat bekerja di sebuah kedai milik orang Islam yang terletak di kawasan yang jauh di persisiran pantai selatan daerah Natal yang mana ketika itu beliau berusia 18 tahun.

KETOKOHAN :
>Semasa bekerja di kedai tersebut, yang besebelahan dengan tempat missionnari Krisitian banyak kisah yang berlaku kepada Syeikh Ahmad Deedat.
>Pelajar-pelajar missionnari tersebut selalu datang ke tempat beliau bekerja dan selalu melontarkan penghinaan kepada Nabi S.A.W. Ketika itu Syeikh Ahmad berkata , “Ketika itu saya belum memahami apa-apa berkenaan perkara yang mereka katakan. Yang saya tahu hanyalah saya seorang muslim. Nama saya Ahmed. Saya solat sebagaimana saya melihat bapa saya solat. Saya berpuasa sebagaimana dia lakukan, saya tidak memakan daging babi dan tidak minum arak, dan saya mengucapkan Syahadah – laa ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah.
>Syeikh Ahmad Deedat merupakan seorang yang kuat dan rajin membaca. Keinginannya yang semulajadi itu, membuatkan beliau begitu bersungguh untuk meneroka serta mencari jawapan bagaimana untuk menjawab tuduhan dan rekaan para pendakyah Kristian di India ketika itu yang mana orang-orang Islam pada pandangan mereka begitu merbahaya kepada golongan Kristian. Maka oleh itu, mereka mengkristiankan orang-orang Islam dengan menanam fikrah “Barang siapa memukul peha kanan kamu, maka berilah dia peha kiri kamu “. Buku yang menjadi rujukan atau pembacaan beliau ialah buku yang bertajuk “ Revealed Truth ”. Ia menerangkan teknik, uslub dan kemahiran tertentu. Ia menjelaskan cara memulakan perbincangan, cara melontarkan soalan, dan uslub menjawab ketika berdebat dengan pendakyah Kristian.
>Syeikh Ahmad juga banyak membaca serta mengkaji pelbagai versi kitab-kitab Bible, memahami serta membuat perbandingan antara kitab-kitab Bible yang dibacanya. Tujuannya adalah untuk beliau berbahas dengan pelajar-pelajar serta pendakyah Kristian berkaitan tentang Bible. Sedikit demi sedikit minat dan sikap ambil tahu ini berubah sebagai satu peranan yang jelas untuk berdakwah. Beliau telah melalui beberapa siri atau pusingan perdebatan dan telah berjaya menyampaikan beratus-ratus ceramah dan debat dengan beberapa Bishop, selama 3 dekad.
>2 orang tokoh yang turut bersama-sama dengan Syeikh Ahmad Deedat ialah Ghulam Hasan Fanka , seorang pemuda daripada Afrika Selatan, berkelulusan Leasons dalam Perundangan dan seorang lagi bernama Salleh Mohamad yang berasal daripada Cape Town. Syeikh Ahmad dan Ghulam telah mengasaskan “ Maktab Dakwah ” di sebuah apartmen sederhana di Bandar Durban dan dari situ beliau bersama-sama Ghulam menjalankan siri-siri perdebatan dengan golongan Kristian. Manakala Salleh Mohamad juga bersama-sama dengan Syeikh Ahmad Deedat menjalankan perdebatan bersama Bishop di Bandar Cape Town.
>Syeikh Ahmad Deedat menjelajah ke seluruh negara bersama rakan jalanannya. Program-program debat beliau telah menimbulkan keresahan di kalangan gereja dan di dalam masyarakat seluruhnya. Ianya menggoncang kefahaman dan kepercayaan yang sebelum ini telah teguh dan dianggap suci serta dapat mengubahnya. Berlaku kekosongan di dalam gereja selepas beratus-ratus orang berpindah kepada agama Islam dengan kehendak mereka sendiri kesan dari menghadiri program debat atau selepas melawat beliau di Maktab yang telah bertukar menjadi sebuah forum bagi para pelawat dan tetamu dari semua tempat.
>Dari Afrika Selatan, Syeikh Ahmad Deedat keluar ke dunia dalam sebuah program debat antarabangsa tahun 1977 di dewan Albert Holl, London.
>Beliau berdebat dengan tokoh-tokoh agama Kristian yang hebat seperti: Clark-Jimi, Swejert-Anise Shrosh dan lain-lain. Perdebatan beliau telah bergema di barat dan gemanya masih kedengaran sehingga ke hari ini. Perbincangan beliau berkaitan percanggahan yang wujud di antara empat versi kitab Bible telah menyebabkan gereja dan pusat-pusat pengajiannya serta universiti-universiti di barat mewujudkan satu bahagian khas untuk berdebat dengan Deedat serta mencatatnya dan meletakkannya di dalam kajian khusus untuk mematahkan hujah beliau, dan menghalang penyebarannya.

KARYA & JASA :
>Mengasaskan Institut Salam untuk melatih para pendakwah, dan Pusat Antarabangsa Dakwah Islamiyah di Bandar (Durban), Afrika Selatan.
>Mengarang beberapa buah buku antaranya :
*The Choice (Pilihan) dalam beberapa siri.
*Adakah Bible wahyu Allah?
*Al-Quran Mukjizat Terunggul.
*Isa Dalam Islam
*Arab dan Israel, Pertembungan atau Persefahaman.
*Persoalan Penyaliban Isa.
>Beliau diberikan anugerah Al Malik Faisal Antarabangsa tahun 1986 sebagai menghargai sumbangan besarnya dan diberi pangkat “ Ustaz ”.

DETIK TERAKHIR :
>Pada 1996, Syeikh Ahmad Deedat mengalami lumpuh sekaligus membantutkan pergerakan beliau untuk menjalankan kerja-kerja dakwahnya. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat Syeikh Ahmad Deedat untuk berdakwah.
>Beliau tidak terhenti sedikit pun dari bedakwah malah beliau menggunakan pergerakan isyarat kedua-dua matanya dan meneruskan perbincangan bersama pelawat-pelawatnya dan orang yang mendampinginya.
>Malah orang-orang yang berdialog dengan beliau menggunakan sejenis bahasa khas yang menyerupai sistem computer. Syeikh akan menggerakkan kelopak matanya dengan cepat mengikut jadual abjad dan memilih huruf, lalu menjadi perkataan, lalu menjadi ayat, dan ayat-ayat ini diterjemahkan pula oleh anak beliau Yusuf yang sentiasa berada di samping beliau .
>Sehinggalah hampir waktu ajalnya, Syeikh Ahmad Deedat masih lagi menulis dan berjaya menulis hampir 500 pucuk surat dan beliau tidak berhenti berdakwah sehinggalah ajal menemui beliau dalam keadaaan sebagai seorang pejuang, pendakwah dan seorang yang sabar.
>Syeikh Ahmad Deedat meninggal dunia pada tanggal 8 Ogos 2005 bersamaan dengan hari Isnin. Umat Islam telah kehilangan mutiara berharga, seorang ulama’ yang begitu gigih berdakwah sehingga akhir hayat beliau. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau dan tempatkan beliau di kalangan golongan syuhada’ , para anbiya’, solihin dan siddiqin.
AL- FATIHAH.



Saturday, September 19, 2009

PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah 29 Ramadhan rupanya.Begitu cepat masa berlalu. Rasanya baru 2, 3 hari kita berpuasa. Rupa-rupanya Ramadhan sudah sampai masa untuk melabuhkan tirainya. Terasa begitu sayu untuk berpisah dengan bulan yang begitu bertuah ini. Bulan yang menjanjikan pelbagai ni'mat pahala dan ganjaran yang tak terkira daripada Allah Ta'ala. Bulan kesyukuran, bulan kerahmatan, bulan pahala dan bulan yang diturunkan didalamnya AL QURANUL KARIM. Rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dapat menghabiskan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.
Alhamdulillah, malam tadi sempat saya menghadiri muhadharah bersama-sama dengan Dr. Rif'at Fauzi Abd Muttalib, seorang Pensyarah Kuliah Syariah, Darul Ulum di Universiti Kaherah. Muhadharah tersebut yang dianjurkan oleh PMRAM adalah merupakan sebagai salah satu inisiatif untuk menghidupkan malam terakhir di bulan Ramadhan. Di dalam muhadharah tersebut, banyak perkara yang disebutkan oleh Dr Rif'at Fauzi berkaitan dengan Al Quran. Bulan Ramadhan merupakan bulan di mana Al Quran diturunkan. Terkandung didalamnya perkara-perkara yang berkaitan dengan manusia, undang-undang, kisah-kisah tauladan dan sebagainya. Al Quran juga merupakan petunjuk kepada manusia sepanjang zaman, memberi panduan kepada manusia tentang undang-undang Allah yang Maha Besar,Maha Adil, dan bagaimana manusia menjadikan Al Quran bukan sahaja untuk dibaca, difahami, kemudian ditafsirkan ayat-ayatnya akan tetapi lebih dari itu ialah bagaimana kita berdakwah kepada manusia lain apa yang terkandung di dalam Al Quran.
Ramadhan merupakan bulan yang mulia dimana Al Quran diturunkan di dalamnya. Tentunya dan sudah pasti terdapat seribu satu rahsia, mengapa Allah S.W.T menurunkan Al Quran pada bulan yang mulia ini. Umat Islam di seluruh dunia mengambil kesempatan ini dengan menjadikan Al Quran sebagai salah satu bacaan harian yang tidak boleh ditinggalkan. Maka terdapat di sana pelbagai acara atau aktiviti yang berkaitan dengan Al Quran khususnya pada bulan Ramadhan iaitu, Tadarus Al Quran. Tujuan aktiviti ini adalah bukan semata-mata hanya membaca Al Quran, menyemak bacaan dari segi tajwid atau sebagainya akan tetapi apakah yang boleh kita dapati apabila kita membaca Al Quran. Di dalam muhadharah, Dr Rif'at Fauzi menyebutkan hendaklah membaca Al Quran itu dengan hati yang khusyuk dan hudhu'. Kemudian, daripada hati yang khusyuk itu, maka hendaklah dizahirkan perbuatan kita dengan apa yang difahami semasa membaca Al Quran. Sebagai penuntut ilmu Allah S.W.T, bukanlah pembacaan Al Quran itu hanya dilakukan apabila tibanya bulan Ramadhan. Seharusnya bagi penuntut ilmu Allah, pembacaan Al Quran hendaklah dijadikan bacaan rutin dan harian. Di peringkat mahasiswa, bukan sahaja kita membaca Al Quran akan tetapi melihat kepada pentafsiran Al Quran, serta membuat penyelidikan tentang apa yang terkandung di dalam Al Quran.
Agama yang diredhai oleh Allah S.W.T, sebagaimana yang termaktub di dalam Al Quran ialah agama ISLAM. Agama yang syumul, lengkap yang mana Al Quran merupakan tunjang utama dalam agama Islam. Menjadikan Al Quran sebagai dustur atau undang-undang dalam kehidupan seharian daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang melibatkan penyelesaian besar permasalahan umat Islam. Jika dilhat pada hari ini, masyarakat sudah tidak menjadikan Al Quran sebagai rujukan utama. Bahkan, lebih dari itu mempermainkan ayat-ayat Al Quran dengan jelas seolah-olah Al Quran itu hanyalah buku biasa yang boleh dipermainkan dengan sesuka hati. Akibatnya, ada sebahagian permasalahan yang berkaitan dengan umat yang perlu kepada rujukan Al Quran tidak dirujuk dan menyebabkan ianya menjadi huru hara dan tidak menentu. Maka, dikesempatan bulan yang mulia ini jadikanlah Al Quran sebagai pegangan kita. Bacalah Al Quran dengan penuh khusyuk, hayatilah maksud yang tersirat di sebalik ayat-ayatnya yang tersusun rapi, lengkap dengan uslub serta bahasa arab yang indah, yang mungkin tidak dapat digambarkan dengan kacamata biasa. Al Quran merupakan kalamullah yang tidak boleh disanggah apatah lagi ianya adalah merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W yang terpelihara sehingga hari kiamat.
Maka, apa yang terbaik dalam menyelusuri kehidupan sebagai seorang muslim, tidak dapat tidak, Al Quranlah yang menjadi teras utama dalam segala aspek. Bermula daripada kita bangun tidur sehinggalah kita tidur semula sebagai salah satu sunnatullah, ketetapan daripada Allah Subhanahullah Ta'ala. Maka, janganlah hanya di bulan Ramadhan sahaja kita menghidupkan suasana pembacaan Al Quran ini, akan tetapi tetap diteruskan dari sehari ke sehari. Bacalah Al Quran dengan penuh khusyuk, selamilah ayat-ayatnya, jiwai apa yang tersirat di sebalik maksud yang di turunkan oleh Allah Ta'ala. Ramadhan Bulan Al Quran, bulan membentuk tarbiah ruhiyah supaya menjadi manusia yang menghidupkan jiwanya dengan AL QURAN, cahaya petunjuk kebenaran. Maka, apa yang diketahui akhlak Rasulullah S.A.W juga adalah Al Quran. Maka jika diselami dengan sedalamnya, akhlak yang terpuji pada diri seorang muslim itu tidak lain dan tidak bukan adalah lahirnya daripada Al Quran. Apakah kita sebagai umat Baginda S.A.W tidak mengamalkan sebagaimana Baginda amalkan??? Fikir-fikirkanlah wahai sahabat-sahabat. Wallahua'alam.


p/s : Peringatan buat diri sendiri. Menyampaikan apa yang mampu, walaupun sekecil cuma.

Wednesday, September 16, 2009

RAMADHAN YANG TERAKHIR.....

Izinkan saya mencoret beberapa noktah di sini...
Mungkinkah tahun ini adalah RAMADHAN yang terakhir bagi saya??? Mengapa saya mengatakan demikian??? Adakah saya sudah menjangkakan, bahawa umur saya akan berakhir selepas ini??? Sesungguhnya manusia tidak dapat menjangkakan bilakah dia akan dipanggil menemui Ilahi. Mungkinkah hari ini..?? Mungkinkah esok..?? Atau mungkinkah beberapa saat dan detik saja lagi..?? Maka dengan itu, saya ingin mengajak kawan-kawan dan sahabat-sahabat merenung kembali apakah sepanjang RAMADHAN tahun ini, sudah cukup bagi kita. Daripada perkara-perkara sunatnya, solat terawihnya, tadarus al qurannya atau bermacam-macam lagi amalan-amalan lain yang menjanjikan seribu satu pahala yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.
Apakah di sepuluh malam terakhir RAMADHAN ini, kita masih lagi istiqamah dengan amalan-amalan kita??? Atau sentiasa mengupdatekan lagi perkara-perkara yang digalakkan oleh agama??? Bagaimana dengan iktikaf kita di sepuluh terakhir RAMADHAN ini??? Adakah meriah di masjid-masjid atau di surau-surau dengan acara iktikafnya??? Apakah di akhir-akhir RAMADHAN ini, kita masih lagi sibuk dengan perkara-perkara yang kurang memberi manfaat kepada kita??? Adakah dengan hanya kita menilai bahawasanya kita akan berjumpa lagi RAMADHAN pada masa akan datang??? Wahai kawan-kawan, wahai sahabat-sahabat...saya melontarkan beberapa persoalan di atas adalah untuk sama-sama kita muhasabah diri kita kembali, terutamanya pada diri yang hina ini. Kita berasa sungguh terasa kerana hanya beberapa hari saja lagi, bulan yang menjanjikan seribu satu pahala, akan pergi meninggalkan kita. Bulan yang menjanjikan rahmat pada awalnya, keampunan Allah S.W.T di pertengahannya, dan kemudian dibebaskan dari azab api neraka pada pengakhirannya. Inilah mutiara kalam Rasulullah S.A.W yang dijanjikan kepada umatnya agar tidak melepaskan peluang dan mengambil seberapa banyak pahala apabila tibanya bulan RAMADHAN, bulan yang mulia "Ramadhan Kareem" bak kata orang Mesir. Tentunya tersimpan seribu rahsia yang tidak mungkin diketahui oleh umat di dalam bulan RAMADHAN. Belum dikira rahsia di sebalik kehebatan malam AL QADR, sepertimana kisahnya di dalam al quran, yang mana Allah S.W.T telah merakamkan kehebatan malam AL QADR ini.
Maka, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan, di hari-hari terakhir bulan RAMADHAN ini dengan pelbagai aktiviti yang boleh membuatkan memori RAMADHAN pada kali ini akan terpahat di sanubari kita buat selamanya. Penuhkanlah malam-malam terakhir bulan RAMADHAN ini dengan perbanyakkan iktikaf serta 'tahajjud cinta' kita kepada Allah Rabbul Jalil, Tuhan yang menguasai pentadbiran alam ini. Dialah cinta agung, cinta hakiki yang takkan terpadam buat selamanya. Jangan asyik sibuk dengan membuat persiapan raya dan menunaikan " tawaf " di kompleks-kompleks membeli belah, dalam masa yang sama terus lupa dengan tanggungjawab kita selaku hamba Allah S.W.T di atas muka bumi ini.
Moga dengan berakhirnya RAMADHAN nanti, kita akan terus menjadi Robbaniyyin, hasil tarbiahan kita di dalam Madrasah Ramadhaniyah,dan kita doakan moga RAMADHAN pada tahun ini bukanlah RAMADHAN YANG TERAKHIR buat kita. Doakanlah moga kita dapat berjumpa lagi pada RAMADHAN yang akan datang. Allahumma ballighna RAMADHAN.Aminn.




Bulan Ramadhan Bulan yang berkat,
Bulan Rahmat dan bulan utama,
Pahala digandakan doa diterima,
Bulan Lailatulqadar yang istimewa,

Isilah bulan ini banyakkan amalan,
Beribadah malam siang berpuasa,
Banyakkanlah sedekah jangan dikira,
Kerna ia menjadi penebus dosa,

Membaca al quran jangan dilupakan,
Zikir dan tasbih elok disertakan,
Meriahkan Ramadhan dengan bermacam cara,
Agar Ramadhan tidak sia-sia,


Hindarkanlah dosa di setiap anggota,
Kalau boleh dosa hati jua,
Kerna dosa itu merosakkan pahala,
Agar kita tidak mensiakan Ramadhan,


p/s: Nanti raya, jangan lupe puasa 6 yer..banyak pahala puasa 6 nie...Pesan pada diriku juge...(^_^) Wallahua'alam.

Monday, September 14, 2009

WARNA WARNI RAMADHAN

HIJAU...MENENANGKAN..


ISLAMIC WATERFALL


BEAUTIFUL RAMADHAN


SUNSET...ALLAHU AKBAR!!!



RAMADHAN KAREEM


THE NIGHT OF QADR



RAMADHAN NIGHT SKY



RAMADHAN BULAN AL QURAN



Friday, September 11, 2009

Salam Perkenalan



~Alhamdulillah...Berkat kesabaran & kesungguhan,akhirnya dapat juga saya siapkan blog yang kecil ini.Hasrat untuk memiliki blog sendiri,dapat juga disiapkan walaupun sibuk dengan pelbagai urusan. Masih baru dalam bidang ini & semestinya banyak perkara yang perlu saya belajar bagaimana mengendalikan blog yang kecil ini. Moga-moga dengan adanya blog ini, dapatlah saya coretkan beberapa intisari atau risalah yang bermanfaat untuk dikongsi bersama~