Thursday, November 26, 2009

Mauqif BKASM terhadap Program Aidiladha KBMK dan JPMK

Baca mauqif BKASM berkenaan Program Aidiladha anjuran KBMK & JPMK.
Sumber : www.bkasm.org

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Kepada : Seluruh Ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir.

PER : KENYATAAN RASMI BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR TERHADAP PROGRAM SAMBUTAN AIDILADHA ANJURAN KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH (KBMK) DAN JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH (JPMK)

Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2009/2010 telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 23 November 2009 bagi membincangkan isu di atas. Keputusannya, seluruh Ahli Jawatankuasa Tadbir BKASM SEBULAT SUARA BERSETUJU BAHAWA BKASM TIDAK AKAN BEKERJASAMA TERHADAP PROGRAM SAMBUTAN AIDILADHA ANJURAN KBMK DAN JPMK yang akan diadakan pada 27 November 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430 di Dataran Hayyu ‘Asyir.

Hal ini adalah disebabkan pihak BKASM memohon agar isu Majlis Pembacaan Kutub Sittah PMRAM dapat diselesaikan terlebih dahulu dengan baik antara pihak JPMK dan seluruh mahasiswa Malaysia di Republik Arab Mesir. Pegawai HEP Selangor di Mesir, En. Abdul Halim Saljadi menghormati keputusan yang telah disepakati oleh AJKT BKASM dalam mesyuarat tersebut.

Pihak BKASM berharap agar seluruh ahli dapat MEMBERIKAN PERHATIAN yang sewajarnya terhadap kenyataan ini. Segala kerjasama dan tindakan yang diberikan adalah dihargai dan didahului dengan Jazakumullahu Khairan Kathira.

Sekian, terima kasih.

“BERSATU DAN BERBAKTI”

"JULANG DAKWAH, PERKASA UKHUWAH, LESTARI UMMAH"

Thursday, November 5, 2009

SYEIKH AHMAD DEEDAT

Assalamualaikum, jom kita baca sedikit profail mengenai Syeikh Ahmad Deedat.

LATAR BELAKANG :
>Syeikh Ahmad Deedat dilahirkan pada tahun 1918, di Bandar Sirat India. Kemudian, beberapa lama selepas kelahiran beliau, bapanya berhijrah ke Afrika Selatan. Ibu beliau meninggal dunia ketika beliau berusia 9 tahun.
>Syeikh Ahmad Deedat merupakan seorang pelajar yang cemerlang semasa di zaman sekolahnya dahulu. Beliau begitu cekap dalam pelajarannya mengatasi rakan-rakan sebayanya walaupun berbeza bahasa.
>Atas sebab kemiskinan keluarga, maka Syeikh Ahmad Deedat terpaksa meninggalkan sekolah peringkat pertengahan untuk mencari sumber rezeki bagi membantu keluarganya .
>Pada tahun 1936, Syeikh Ahmad Deedat bekerja di sebuah kedai milik orang Islam yang terletak di kawasan yang jauh di persisiran pantai selatan daerah Natal yang mana ketika itu beliau berusia 18 tahun.

KETOKOHAN :
>Semasa bekerja di kedai tersebut, yang besebelahan dengan tempat missionnari Krisitian banyak kisah yang berlaku kepada Syeikh Ahmad Deedat.
>Pelajar-pelajar missionnari tersebut selalu datang ke tempat beliau bekerja dan selalu melontarkan penghinaan kepada Nabi S.A.W. Ketika itu Syeikh Ahmad berkata , “Ketika itu saya belum memahami apa-apa berkenaan perkara yang mereka katakan. Yang saya tahu hanyalah saya seorang muslim. Nama saya Ahmed. Saya solat sebagaimana saya melihat bapa saya solat. Saya berpuasa sebagaimana dia lakukan, saya tidak memakan daging babi dan tidak minum arak, dan saya mengucapkan Syahadah – laa ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah.
>Syeikh Ahmad Deedat merupakan seorang yang kuat dan rajin membaca. Keinginannya yang semulajadi itu, membuatkan beliau begitu bersungguh untuk meneroka serta mencari jawapan bagaimana untuk menjawab tuduhan dan rekaan para pendakyah Kristian di India ketika itu yang mana orang-orang Islam pada pandangan mereka begitu merbahaya kepada golongan Kristian. Maka oleh itu, mereka mengkristiankan orang-orang Islam dengan menanam fikrah “Barang siapa memukul peha kanan kamu, maka berilah dia peha kiri kamu “. Buku yang menjadi rujukan atau pembacaan beliau ialah buku yang bertajuk “ Revealed Truth ”. Ia menerangkan teknik, uslub dan kemahiran tertentu. Ia menjelaskan cara memulakan perbincangan, cara melontarkan soalan, dan uslub menjawab ketika berdebat dengan pendakyah Kristian.
>Syeikh Ahmad juga banyak membaca serta mengkaji pelbagai versi kitab-kitab Bible, memahami serta membuat perbandingan antara kitab-kitab Bible yang dibacanya. Tujuannya adalah untuk beliau berbahas dengan pelajar-pelajar serta pendakyah Kristian berkaitan tentang Bible. Sedikit demi sedikit minat dan sikap ambil tahu ini berubah sebagai satu peranan yang jelas untuk berdakwah. Beliau telah melalui beberapa siri atau pusingan perdebatan dan telah berjaya menyampaikan beratus-ratus ceramah dan debat dengan beberapa Bishop, selama 3 dekad.
>2 orang tokoh yang turut bersama-sama dengan Syeikh Ahmad Deedat ialah Ghulam Hasan Fanka , seorang pemuda daripada Afrika Selatan, berkelulusan Leasons dalam Perundangan dan seorang lagi bernama Salleh Mohamad yang berasal daripada Cape Town. Syeikh Ahmad dan Ghulam telah mengasaskan “ Maktab Dakwah ” di sebuah apartmen sederhana di Bandar Durban dan dari situ beliau bersama-sama Ghulam menjalankan siri-siri perdebatan dengan golongan Kristian. Manakala Salleh Mohamad juga bersama-sama dengan Syeikh Ahmad Deedat menjalankan perdebatan bersama Bishop di Bandar Cape Town.
>Syeikh Ahmad Deedat menjelajah ke seluruh negara bersama rakan jalanannya. Program-program debat beliau telah menimbulkan keresahan di kalangan gereja dan di dalam masyarakat seluruhnya. Ianya menggoncang kefahaman dan kepercayaan yang sebelum ini telah teguh dan dianggap suci serta dapat mengubahnya. Berlaku kekosongan di dalam gereja selepas beratus-ratus orang berpindah kepada agama Islam dengan kehendak mereka sendiri kesan dari menghadiri program debat atau selepas melawat beliau di Maktab yang telah bertukar menjadi sebuah forum bagi para pelawat dan tetamu dari semua tempat.
>Dari Afrika Selatan, Syeikh Ahmad Deedat keluar ke dunia dalam sebuah program debat antarabangsa tahun 1977 di dewan Albert Holl, London.
>Beliau berdebat dengan tokoh-tokoh agama Kristian yang hebat seperti: Clark-Jimi, Swejert-Anise Shrosh dan lain-lain. Perdebatan beliau telah bergema di barat dan gemanya masih kedengaran sehingga ke hari ini. Perbincangan beliau berkaitan percanggahan yang wujud di antara empat versi kitab Bible telah menyebabkan gereja dan pusat-pusat pengajiannya serta universiti-universiti di barat mewujudkan satu bahagian khas untuk berdebat dengan Deedat serta mencatatnya dan meletakkannya di dalam kajian khusus untuk mematahkan hujah beliau, dan menghalang penyebarannya.

KARYA & JASA :
>Mengasaskan Institut Salam untuk melatih para pendakwah, dan Pusat Antarabangsa Dakwah Islamiyah di Bandar (Durban), Afrika Selatan.
>Mengarang beberapa buah buku antaranya :
*The Choice (Pilihan) dalam beberapa siri.
*Adakah Bible wahyu Allah?
*Al-Quran Mukjizat Terunggul.
*Isa Dalam Islam
*Arab dan Israel, Pertembungan atau Persefahaman.
*Persoalan Penyaliban Isa.
>Beliau diberikan anugerah Al Malik Faisal Antarabangsa tahun 1986 sebagai menghargai sumbangan besarnya dan diberi pangkat “ Ustaz ”.

DETIK TERAKHIR :
>Pada 1996, Syeikh Ahmad Deedat mengalami lumpuh sekaligus membantutkan pergerakan beliau untuk menjalankan kerja-kerja dakwahnya. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat Syeikh Ahmad Deedat untuk berdakwah.
>Beliau tidak terhenti sedikit pun dari bedakwah malah beliau menggunakan pergerakan isyarat kedua-dua matanya dan meneruskan perbincangan bersama pelawat-pelawatnya dan orang yang mendampinginya.
>Malah orang-orang yang berdialog dengan beliau menggunakan sejenis bahasa khas yang menyerupai sistem computer. Syeikh akan menggerakkan kelopak matanya dengan cepat mengikut jadual abjad dan memilih huruf, lalu menjadi perkataan, lalu menjadi ayat, dan ayat-ayat ini diterjemahkan pula oleh anak beliau Yusuf yang sentiasa berada di samping beliau .
>Sehinggalah hampir waktu ajalnya, Syeikh Ahmad Deedat masih lagi menulis dan berjaya menulis hampir 500 pucuk surat dan beliau tidak berhenti berdakwah sehinggalah ajal menemui beliau dalam keadaaan sebagai seorang pejuang, pendakwah dan seorang yang sabar.
>Syeikh Ahmad Deedat meninggal dunia pada tanggal 8 Ogos 2005 bersamaan dengan hari Isnin. Umat Islam telah kehilangan mutiara berharga, seorang ulama’ yang begitu gigih berdakwah sehingga akhir hayat beliau. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau dan tempatkan beliau di kalangan golongan syuhada’ , para anbiya’, solihin dan siddiqin.
AL- FATIHAH.