Saturday, September 19, 2009

PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah 29 Ramadhan rupanya.Begitu cepat masa berlalu. Rasanya baru 2, 3 hari kita berpuasa. Rupa-rupanya Ramadhan sudah sampai masa untuk melabuhkan tirainya. Terasa begitu sayu untuk berpisah dengan bulan yang begitu bertuah ini. Bulan yang menjanjikan pelbagai ni'mat pahala dan ganjaran yang tak terkira daripada Allah Ta'ala. Bulan kesyukuran, bulan kerahmatan, bulan pahala dan bulan yang diturunkan didalamnya AL QURANUL KARIM. Rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dapat menghabiskan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.
Alhamdulillah, malam tadi sempat saya menghadiri muhadharah bersama-sama dengan Dr. Rif'at Fauzi Abd Muttalib, seorang Pensyarah Kuliah Syariah, Darul Ulum di Universiti Kaherah. Muhadharah tersebut yang dianjurkan oleh PMRAM adalah merupakan sebagai salah satu inisiatif untuk menghidupkan malam terakhir di bulan Ramadhan. Di dalam muhadharah tersebut, banyak perkara yang disebutkan oleh Dr Rif'at Fauzi berkaitan dengan Al Quran. Bulan Ramadhan merupakan bulan di mana Al Quran diturunkan. Terkandung didalamnya perkara-perkara yang berkaitan dengan manusia, undang-undang, kisah-kisah tauladan dan sebagainya. Al Quran juga merupakan petunjuk kepada manusia sepanjang zaman, memberi panduan kepada manusia tentang undang-undang Allah yang Maha Besar,Maha Adil, dan bagaimana manusia menjadikan Al Quran bukan sahaja untuk dibaca, difahami, kemudian ditafsirkan ayat-ayatnya akan tetapi lebih dari itu ialah bagaimana kita berdakwah kepada manusia lain apa yang terkandung di dalam Al Quran.
Ramadhan merupakan bulan yang mulia dimana Al Quran diturunkan di dalamnya. Tentunya dan sudah pasti terdapat seribu satu rahsia, mengapa Allah S.W.T menurunkan Al Quran pada bulan yang mulia ini. Umat Islam di seluruh dunia mengambil kesempatan ini dengan menjadikan Al Quran sebagai salah satu bacaan harian yang tidak boleh ditinggalkan. Maka terdapat di sana pelbagai acara atau aktiviti yang berkaitan dengan Al Quran khususnya pada bulan Ramadhan iaitu, Tadarus Al Quran. Tujuan aktiviti ini adalah bukan semata-mata hanya membaca Al Quran, menyemak bacaan dari segi tajwid atau sebagainya akan tetapi apakah yang boleh kita dapati apabila kita membaca Al Quran. Di dalam muhadharah, Dr Rif'at Fauzi menyebutkan hendaklah membaca Al Quran itu dengan hati yang khusyuk dan hudhu'. Kemudian, daripada hati yang khusyuk itu, maka hendaklah dizahirkan perbuatan kita dengan apa yang difahami semasa membaca Al Quran. Sebagai penuntut ilmu Allah S.W.T, bukanlah pembacaan Al Quran itu hanya dilakukan apabila tibanya bulan Ramadhan. Seharusnya bagi penuntut ilmu Allah, pembacaan Al Quran hendaklah dijadikan bacaan rutin dan harian. Di peringkat mahasiswa, bukan sahaja kita membaca Al Quran akan tetapi melihat kepada pentafsiran Al Quran, serta membuat penyelidikan tentang apa yang terkandung di dalam Al Quran.
Agama yang diredhai oleh Allah S.W.T, sebagaimana yang termaktub di dalam Al Quran ialah agama ISLAM. Agama yang syumul, lengkap yang mana Al Quran merupakan tunjang utama dalam agama Islam. Menjadikan Al Quran sebagai dustur atau undang-undang dalam kehidupan seharian daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang melibatkan penyelesaian besar permasalahan umat Islam. Jika dilhat pada hari ini, masyarakat sudah tidak menjadikan Al Quran sebagai rujukan utama. Bahkan, lebih dari itu mempermainkan ayat-ayat Al Quran dengan jelas seolah-olah Al Quran itu hanyalah buku biasa yang boleh dipermainkan dengan sesuka hati. Akibatnya, ada sebahagian permasalahan yang berkaitan dengan umat yang perlu kepada rujukan Al Quran tidak dirujuk dan menyebabkan ianya menjadi huru hara dan tidak menentu. Maka, dikesempatan bulan yang mulia ini jadikanlah Al Quran sebagai pegangan kita. Bacalah Al Quran dengan penuh khusyuk, hayatilah maksud yang tersirat di sebalik ayat-ayatnya yang tersusun rapi, lengkap dengan uslub serta bahasa arab yang indah, yang mungkin tidak dapat digambarkan dengan kacamata biasa. Al Quran merupakan kalamullah yang tidak boleh disanggah apatah lagi ianya adalah merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W yang terpelihara sehingga hari kiamat.
Maka, apa yang terbaik dalam menyelusuri kehidupan sebagai seorang muslim, tidak dapat tidak, Al Quranlah yang menjadi teras utama dalam segala aspek. Bermula daripada kita bangun tidur sehinggalah kita tidur semula sebagai salah satu sunnatullah, ketetapan daripada Allah Subhanahullah Ta'ala. Maka, janganlah hanya di bulan Ramadhan sahaja kita menghidupkan suasana pembacaan Al Quran ini, akan tetapi tetap diteruskan dari sehari ke sehari. Bacalah Al Quran dengan penuh khusyuk, selamilah ayat-ayatnya, jiwai apa yang tersirat di sebalik maksud yang di turunkan oleh Allah Ta'ala. Ramadhan Bulan Al Quran, bulan membentuk tarbiah ruhiyah supaya menjadi manusia yang menghidupkan jiwanya dengan AL QURAN, cahaya petunjuk kebenaran. Maka, apa yang diketahui akhlak Rasulullah S.A.W juga adalah Al Quran. Maka jika diselami dengan sedalamnya, akhlak yang terpuji pada diri seorang muslim itu tidak lain dan tidak bukan adalah lahirnya daripada Al Quran. Apakah kita sebagai umat Baginda S.A.W tidak mengamalkan sebagaimana Baginda amalkan??? Fikir-fikirkanlah wahai sahabat-sahabat. Wallahua'alam.


p/s : Peringatan buat diri sendiri. Menyampaikan apa yang mampu, walaupun sekecil cuma.

No comments:

Post a Comment